Skip this ad x
MOHD SAID duduk, tiga dari kanan) mengaminkan doa ketika pengebumian Mohd Danish Mirzan. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


“SYUKURLAH doa kami supaya jasad anak ditemui segera dimakbulkan,” kata Mohd Said Abdul Wahab, 56, bapa kepada pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan, Simpang Renggam, Mohd Danish Mirzan,16, yang mayatnya ditemui terdampar di jambatan Parit Salleh, di Kluang, 10.29 pagi tadi.

Mohd Danish Mirzan adalah salah seorang daripada dua mangsa lemas ketika mandi bersama enam rakan lain di Sungai Kampung Sahari, kira-kira jam 6.10 petang kelmarin.

Mayat rakannya, Muhammad Ammar Mazeni, 13, ditemui kira-kira jam 5.20 pagi semalam, di Sungai Berumbong, hampir dua kilometer dari tempat kejadian.

Mohd Said berkata, sejak hari pertama anaknya dilaporkan hilang dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Sahari, Simpang Renggam, Khamis lalu, keluarganya tidak putus-putus berdoa supaya usaha mencari dan menyelamat (SAR) anaknya dipermudahkan.

“Sebagai bapa, saya tidak dapat menahan sedih apabila dimaklumkan penemuan mayat anak pada 10.29 pagi tadi. Namun, jauh di lubuk hati saya bersyukur kerana doa untuk menemui jasadnya akhirnya dimakbulkan. Ketika itu, saya berada di pusat operasi dan dimaklumkan kira-kira 10.40 pagi.

“Walaupun cabaran ini amat berat namun saya dan isteri, Rozita Mohd Yusof, 46, tetap reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggapnya sebagai dugaan seorang bapa untuk membesarkan anak-anak.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sama-sama berdoa supaya Mohd Danish Mirzan segera ditemui. Selain itu, terima kasih juga diucapkan kepada pihak berkuasa dan penduduk sekitar yang bertungkus-lumus menjalankan operasi SAR tanpa mengira penat dan keadaan cuaca,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan, dekat Kluang, hari ini.

Mohd Said berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu adalah harapan keluarga untuk menjadi agamawan pada masa hadapan, manakala dua abang arwah masing-masing menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan bekerja sendiri.

“Saya berharap kejadian ini dijadikan iktibar kepada semua rakan sekolah arwah dan mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi pejuang agama,” katanya.

Hari ini, Harian Metro melaporkan rayuan bapa Mohd Danish Mirzan, Mohd Said merayu umat Islam mendoakan pasukan SAR menemui anaknya selepas hilang dibawa arus deras sejak Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6.20 petang itu, dua pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kampung Sahari bersama enam rakan sekolah mereka.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilihat singgah ke pusat operasi untuk mendengar taklimat tengah hari tadi, sebelum SAR ditamatkan.

Berita berkaitan

Mayat Mohd Danish sudah ditemui

Lari 500 meter nak selamatkan adik

'Mohon doakan anak saya ditemui'

Mayat Ammar sudah ditemui

[UPDATE] Akur kehendak takdir

Enam selamat, dua remaja masih hilang

2 remaja dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 7:20 PM