BOMBA memeriksa keadaan kereta mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi


WANITA maut selepas Toyota Avanza dipandunya terbabas melanggar pondok hentian bas, dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) Paya Rumput, di Melaka, hari ini.

Ketika kejadian 6.20 pagi itu, mangsa, Hasmah Md Jadi, 41, dikatakan memandu seorang diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Paya Rumput.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi dan melalui selekoh mangsa dipercayai hilang kawalan.

“Kereta dipandunya kemudian terbabas ke kiri jalan lalu merempuh pondok hentian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 8.15 pagi oleh doktor yang merawatnya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kakak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Norida, 51, berkata, ketika kejadian, adik keenamnya daripada tujuh beradik dalam perjalanan ke Ayer Keroh, kerana terbabit dalam program larian.

“Saya dimaklumkan dia antara urus setia pada program larian itu dan tidak sangka arwah terbabit kemalangan ketika ke sana.

“Kami berdua rapat dan agak terkesan kerana hanya kira-kira seminggu sahaja lagi kita akan berpuasa tetapi arwah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Menurutnya, arwah meninggalkan lima anak perempuan berusia antara empat hingga 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 8:50 PM