KEADAAn bas terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG penumpang bas ekspres maut, manakala pemandu parah selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat, dekat Jeli, hari ini.

Kejadian jam 2.45 petang itu menyebabkan mangsa, Muhammad Afiq MohdZulkanain, 22, maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jeli.

Dua lagi penumpang bas berkenaan turut cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, kemalangan berlaku apabila bas ekspres yang membawa 24 penumpang perjalanan dari Perak ke Kota Bharu dan Kuala Besut, Terengganu melalui jalan berselekoh di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu lalu memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar bahagian sisi kanan lori.

“Seterusnya bas ekspres terbabit terbabas ke dalam longkang menyebabkan mangsa yang juga penumpang bas yang berada di kerusi sebelah atas cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang juga penuntut institut pengajian tinggi dan berasal dari Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, meninggal ketika menerima rawatan di hospital.

Katanya, pemandu bas, berusia 30 tahun cedera parah dan dua penumpang cedera ringan serta mereka dirawat di Hospital Jeli.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:20 PM