ANGGOTA bomba memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang di Jalan Lembah Permai, Mount Erskine, semalam.
Shamsul Munir Safini


GEORGETOWN: “Pokok tumbang seperti ‘permainan domino’ termasuk satu daripadanya menimpa kereta saya,” kata Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 26, yang terselamat selepas kereta Perodua Myvi dipandunya ditimpa pokok tumbang ketika melalui Jalan Lembah Permai, Mount Erskine di sini, pagi kelmarin.

Kejadian itu juga menyebabkan Muhammad Fakhrul yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bungah di sini, cedera di muka dan dahi selepas terhantuk pada kereta serta terkena serpihan cermin kenderaannya yang pecah.

Menurutnya, dia tinggal di Air Itam dan menggunakan jalan yang lebih dikenali ‘Bukit Salbiah’ itu setiap hari untuk ke sekolahnya.

“Pada hari kejadian, saya lalu di kawasan itu pada jam 6.30 pagi dan ketika itu tiada kenderaan lain melaluinya serta keadaan gelap.

“Ketika melalui satu selekoh di kawasan berbukit di situ, saya terdengar bunyi kuat dari arah cerun bukit sebelum pokok menghempap bumbung dan bahagian hadapan kereta,” katanya di sini, semalam.

Muhammad Fakhrul yang juga guru subjek Pendidikan Seni berkata, beberapa tiang elektrik juga tumbang selepas kabelnya ditimpa pokok.


MUHAMMAD Fakhrul.

“Saya cemas dengan kejadian dan cuba keluar dari kenderaan tetapi menghadapi kesukaran kerana pintu kereta remuk.

“Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya saya berjaya keluar dan mendapatkan bantuan daripada seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi rakan gurunya di sekolah bagi memaklumkan kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan.

Muhammad Fakhrul berkata, dia masih trauma dengan kejadian menimpanya itu dan terbayang-bayang keadaannya yang terperangkap di dalam kereta sejurus ditimpa pokok tumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:00 AM