KAKITANGAN JKJR memberi penerangan mengenai cara menunggang basikal yang betul. FOTO Zulkepli Osman.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


ASPEK keselamatan jalan raya dan lalu lintas perlu dititikberatkan kepada murid sekolah bagi memastikan mereka mempunyai kefahaman secukupnya untuk mematuhi peraturan seterusnya mengelakkan risiko kemalangan.

Justeru inisiatif itu digerakkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pahang bersama Media Prima Berhad (MPB) untuk memberi maklumat dan penerangan kepada 780 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, mengenai keselamatan jalan raya.

Pengarah JKJR Pahang Noor Jihati Abdul Kadir berkata, antara aspek ditekankan pihaknya adalah melintas jalan dengan cara yang betul.

Katanya, pendidikan keselamatan jalan raya perlu bermula daripada peringkat awal dan dijadikan satu budaya kepada murid sekolah.

“Kita ajar secara santai, iaitu tunjuk demonstrasi melintas jalan, tayangan video dan kesan mengabaikan keselamatan jalan raya. Sedikit sebanyak murid-murid ini akan faham.

“Pendidikan keselamatan jalan raya ini perlu diajar daripada peringkat awal supaya ia lebih berkesan,” katanya ketika ditemui pada program pendidikan sekolah angkat Media Prima Berhad di SK Cherating, semalam.

Noor Jihati berkata, pihaknya turut memberi penerangan mengenai bahaya penggunaan basikal lajak.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan MPB Azlan Abdul Aziz berkata, program tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad turut diselitkan pelbagai aktiviti seperti ceramah keselamatan jalan raya dan bengkel bahasa Inggeris.

“Program kerjasama dengan JKJR Pahang adalah yang pertama kita jalankan di SK Cherating. Kita mahu murid di sini, mempunyai pengetahuan berkenaan keselamatan diri mereka dan peraturan jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 9:53 AM