GAMBAR hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PENDAKWAH bebas yang juga Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan polis di depan sebuah restoran di Arau, 2.30 pagi tadi, bagi membantu siasatan kes menyebabkan suasana tidak harmoni.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, semakan mendapati pendakwah berusia 34 tahun itu turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau.

Katanya, tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Tangkapan ke atas pendakwah berkenaan dilakukan berhubung laporan polis dibuat ke atasnya di Balai Polis Jalan Tun Razak, semalam.

“Dia ketika itu baru saja selesai menghadiri program debat atau diskusi agama anjuran NGO miliknya di sebuah Universiti Awam (UA) di negeri ini.

“Kami hanya menahannya tetapi pihak Bukit Aman yang akan menjalankan siasatan kerana laporan dibuat di Kuala Lumpur atas dakwaan menghina agama lain,” katanya ketika dihubung hari ini.

Semalam, sebuah NGO agama di ibu negara membuat satu laporan polis ke atas pendakwah berkenaan yang juga protege kepada pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik di ibu negara, Kuala Lumpur.

Laporan itu dibuat susulan tindakan pendakwah itu memuat naik kenyataan di Facebook yang didakwa menghina agama lain dan boleh menimbulkan ketegangan antara penganut agama dalam negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 11:56 AM