MAZLINA (kanan) bersama Rahmad (dua dari kanan) dan ahli keluarga mereka menunjukkan replika kunci rumah Pangsapuri Seri Serdang pada Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Seri Serdang, Kepala Batas, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Nur Izzati Mohamad


KEDATANGAN Ramadan tidak lama lagi bagaikan satu rahmat kepada suami isteri apabila mereka akhirnya dapat memiliki kediaman sendiri.

Mazlina Mohd Nasir, 36, dan suaminya, Rahmad Ali Samsudin, 45, sudah lama memohon rumah kos rendah selepas 10 tahun tinggal bersama ibunya.

Bagaimanapun, katanya, mereka mendapat panggilan daripada pihak UDA Holdings Berhad pada tahun lalu dan meminta mempertimbangkan seunit rumah kos rendah di Pangsapuri Seri Serdang, Kepala Batas.

“Selepas setahun, permohonan kami berjaya dan ia bagaikan satu rahmat apabila menerima rumah ini ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan minggu depan.

“Harga rumah ini berpatutan dan mampu dengan pendapatan suami saya yang bekerja kilang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah berkenaan, di Kepala Batas, hari ini.

Majlis penyerahan kunci disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Pangsapuri Seri Serdang adalah kediaman kos rendah dibangunkan UDA Land North Sdn Bhd di atas tanah berkeluasan 0.4168 hektar.

Ia merangkumi satu blok tujuh tingkat yang mempunyai 80 unit kediaman dengan setiap unit dijual pada harga RM42,000.

Setiap unit dibina dengan keluasan 650 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pembangunan Hartanah UDA Holdings Berhad, Noor Azmi Salleh, berkata pihaknya menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan pangsapuri kos rendah bagi membantu golongan kategori B40 memiliki kediaman sendiri.

“Oleh itu, kami memulakan pembinaan pada Mac 2017 dengan nilai pembangunan kasar bagi projek ini menelan perbelanjaan RM3.36 juta.

“Daripada 80 unit, 67 unit sudah dijual dan pemilihan sudah pastinya dibuat untuk mereka yang benar-benar layak sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 5:16 PM