ANGGOTA pasukan penyelamat mengangkat mayat Md Kasim (gambar kecil) yang ditemui lemas ketika menangkap ikan di muara Sungai Juru, Juru, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Shamsul Munir Safini


NELAYAN yang hilang selepas keluar ke laut ditemui lemas oleh pasukan operasi mencari dan penyelamat (SAR), pada 4.15 petang, hari ini.

Mayat mangsa, Mad Kassim Chat, 65, ditemui di Kilometer 2.1 Jambatan Pulau Pinang arah Prai selepas lebih lapan jam hilang.

Dalam kejadian itu, kehilangan mangsa disedari isterinya Hamidah Md Yusof, 49, yang gagal menghubungi suaminya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, isteri mangsa kemudian datang ke Balai Polis Bukit Tengah untuk membuat laporan.

“Dia memaklumkan suaminya gagal dihubungi dan hilang selepas turun ke laut menaiki bot seorang diri sejak 8 pagi tadi.

“Bot suaminya dijumpai di Muara Sungai Belanak oleh nelayan lain pada 11 pagi tetapi suaminya tiada,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ketika menangkap ikan sebelum mayatnya ditemui pasukan SAR.

Operasi menyelamat disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan beberapa agensi lain.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Berita berkaitan

'Nelayan dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 5:46 PM