Lokasi kemalangan yang meragut nyawa Ahmad Tarmizi dan anaknya selepas motosikal ditunggang bertembung sesama sendiri. FOTO Amran Hamid
Lokasi kemalangan yang meragut nyawa Ahmad Tarmizi dan anaknya selepas motosikal ditunggang bertembung sesama sendiri. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi

“KEJADIAN berlaku terlalu pantas dan saya hanya terdengar bunyi dentuman sebelum tercampak ke jalan,” kata mangsa kemalangan, Mohd Ridzuan Fadzil, 28.

Dia salah seorang mangsa kemalangan membabitkan tiga motosikal yang menyebabkan, Ahmad Tarmizi Kadir, 50, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya Muhammad Akhmal Ahmad Tarmizi, 16, meninggal dunia di Hospital Jitra selepas tercampak ke sawah padi.

Menurutnya, ketika itu dia bersama sepupunya, Ahmad Tarmizi dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengisi minyak motosikal di Tunjang.

“Ketika itu saya yang membonceng motosikal bermain telefon bimbit dan tidak mengetahui secara jelas bagaimana kemalangan itu berlaku.

“Cuma selepas terjatuh di jalan raya saya terus berlari mendapatkan arwah sepupu namun dia tidak menyahut ketika dipanggil,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Timbul, Mukim Jeram, Kubang Pasu hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, arwah berlumuran darah di kepala dan kaki selain hanya terlihat seorang wanita di dalam sawah padi.

“Saya juga tidak tahu kemalangan itu turut membabitkan anak saudara kerana ketika kejadian tidak nampak kelibatnya di sawah padi.

“Akibat kejadian itu saya mengalami kecederaan di atas kening mata sebelah kanan dan menerima beberapa jahitan,” katanya.

Mohamad Ridzuan yang membonceng motosikal ditunggang Ahmad Tarmizi cedera dalam kemalangan membabitkan dua beranak itu. FOTO Amran Hamid
Mohamad Ridzuan yang membonceng motosikal ditunggang Ahmad Tarmizi cedera dalam kemalangan membabitkan dua beranak itu. FOTO Amran Hamid

Dalam kejadian 9.45 malam itu, Ahmad Tarmizi meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Akhmal meninggal dunia di Hospital Jitra selepas tercampak ke sawah padi.

Kejadian berlaku apabila Honda Wave ditunggang Muhammad Akhmal hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Modenas Kriss ditunggang bapanya yang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Berita berkaitan

'Oh anakku, suamiku...'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 7:53 PM