syarikat RichWorks International mengucapkan tahniah atas kejayaan Azizan di Facebook peribadinya.
Hairulazim Mahmud


MENTOR keusahawanan Azizan Osman yang pernah diselubungi kontroversi tiga tahun lalu, akhirnya memperoleh Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari VU School of Management, Switzerland.

Beliau yang menimbulkan kontroversi pada 2016 apabila didakwa menggunakan gelaran ‘Dr’ palsu pada 2016 membabitkan beberapa universiti perdana negara termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima skrol berkenaan pada majlis graduasi di Hong Kong baru-baru ini.

Menurut status Facebook peribadinya, syarikat RichWorks International mengucapkan tahniah atas kejayaan Azizan menamatkan pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan institusi berkenaan.

“Dengan sukacitanya kami di RichWorks International mengucapkan tahniah kepada Dr Azizan di atas kejayaan terkini beliau menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari VU School of Management, Switzerland pada majlis graduasi di AsiaWorld-Expo Hong Kong baru-baru ini,” katanya hari ini.

Status itu turut menyebut, bahawa pencapaian beliau menjadi teladan untuk kakitangan syarikat itu selain menjadi momen bermakna buat mereka.

Turut dipaparkan dan dimuatnaik ialah gambar sekitar majlis graduasi serta klip video menunjukkan skrol yang diterimanya.

Pada 2016, negara dikejutkan dengan kontroversi penafian beberapa institusi pengajian tinggi dan universiti awam membabitkan ijazah PhD yang didakwa diterima Azizan.

Pusat Siswazah UKM ketika itu berkata, nama Azizan tidak tersenarai dalam penerima dianugerahkan PhD oleh universiti berkenaan.

Turut membuat penafian ialah Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) yang mengesahkan tidak pernah menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD kepada beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 7:58 PM