Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 47,153 botol arak tiruan dianggarkan bernilai RM600,000 dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Johary Yacob berkata, barang kes yang dilupuskan itu adalah hasil rampasan bagi tahun 2016.

“Arak tiruan itu dirampas dalam operasi di sekitar Seremban dan berdasarkan siasatan sebelum ini mendapati ia adalah arak dari luar negara dan diseludup masuk ke negara ini untuk dijual.

“Semua barang kes terbabit sudah selesai pendakwaaan di mahkamah dan mendapat arahan untuk dilupuskan,” katanya pada sidang media di Majlis Pelupusan Ekshibit Barang Tiruan di Nilai, hari ini.

Johary berkata, KPDNHEP mengambil tindakan tegas menghalang penjualan barang tiruan dan cetak rompak melalui penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

Bagi tempoh Januari sehingga 26 April lalu, katanya, KPDNHEP negeri sudah menghasilkan 275 kes membabitkan rampasan pelbagai barangan tiruan dianggarkan bernilai RM1.23 juta.

“Pertubuhan yang didapati menjual barang tiruan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan dan bagi kesalahan kali kedua serta berikutnya boleh didenda sehingga RM30,000.

“Hukuman bagi selain dari pertubuhan perbadanan pula boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga tiga tahun,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan barangan tiruan diminta menyalurkan kepada Pejabat KPDNHEP negeri di Seremban atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU.

From: Aina

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 1:43 PM
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Johary Yacob melupuskan arak tiruan yang dirampas pada sidang media Pelupusan Ekshibit Barang Tiruan di Stor KPDNHEP Nilai. FOTO Hasriyasyah SABUDIN