GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


TUJUH lelaki ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan selepas dipercayai terbabit menculik dan membunuh lelaki warga asing, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, semua lelaki tempatan berusia 26 hingga 33 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar negeri itu dan Selangor, 23 April lalu.

“Suspek dipercayai terbabit dalam kejadian penculikan seorang lelaki warga asing di kawasan Nilai.

“Mereka membawa mangsa dari rumahnya ke satu kawasan di Seremban untuk disoal dan dipukul sehingga mati.

“Bagi melupuskan mayat mangsa, suspek bertindak membakarnya dan dibuang di tepi jalan di Jalan Bukit Putus dari arah Seremban ke Kuala Pilah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rukman berkata, bertindak atas maklumat suspek, polis kemudian menjalankan siasatan dan menemui bungkusan mayat mangsa di tepi jalan berkenaan pada 25 April lalu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat hari ini.

“Motif kejadian adalah dipercayai disebabkan tuntutan hutang ke atas mangsa yang dikatakan menyeleweng wang perniagaan milik salah seorang suspek.

“Salah seorang suspek yang ditahan itu juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah. Polis turut merampas tiga kenderaan suspek,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 2:03 PM