GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI warga asing ditahan polis selepas dipercayai melakukan seks oral terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di tandas awam sebuah pasar raya di Ipoh semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, lelaki yang bekerja di pasar raya itu sebagai pemotong buah dipercayai melakukan perbuatan berkenaan selepas mangsa membuang air kecil di tandas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ibu mangsa yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu memberitahu anaknya keluar tandas dalam keadaan muka pucat.

“Mangsa memberitahu ibunya mengenai perbuatan suspek menyebabkan ibu mangsa menunggu di luar tandas untuk menahan lelaki itu.

“Suspek yang melihat ibu mangsa kemudian masuk semula ke tandas menyebabkan ibu mangsa mendapatkan bantuan orang ramai termasuk adiknya untuk menahan suspek.

“Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan direman hari ini,” katanya.

Mohd Ali berkata, polis sudah merakam percakapan ibu mangsa dan siasatan awal mendapati suspek memanggil mangsa masuk ke dalam salah satu bilik di tandas itu sebelum melondehkan seluar mangsa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 4:16 PM