Penguat kuasa KPDNHEP merampas beg tangan dan dompet tiruan di sebuah premis. FOTO Ihsan KPDNHEP
Iskandar Shah Mohamed


KEDEGILAN dua pemilik premis yang masih menjual barangan tiruan di sebuah pusat beli belah di sekitar Klang mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam

Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Difahamkan, satu daripada premis yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu pernah dikenakan tindakan atas kesalahan sama namun menggunakan nama syarikat lain, awal bulan lalu.

Sebuah lagi premis didapati masih menjual barangan tiruan namun membabitkan jenama lain.

Perkara itu berjaya dihidu sepasukan pegawai dan anggota (KPDNHEP) Selangor yang bertindak menyerbu kedua-dua premis 12 tengah hari.

Ia membawa kepada rampasan ratusan beg tangan dan dompet berjenama Chanel disyaki tiruan dianggarkan RM17,169.

Pengarah KPDNHEP negeri Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya selain turut dibuat pengesahan awal oleh wakil jenama.

“Dalam serbuan pertama di pusat beli belah itu, kita merampas 42 beg tangan dan 15 dompet jenama itu yang disyaki tiruan.

“Ia kemudian membawa kepada rampasan di premis kedua membabitkan 93 barangan jenama sama.

“Kedua-dua premis itu masing-masing diusahakan seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 52 dan 24 tahun,” katanya.

Muhamad Zikril berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekal atau menawarkan barangan perihal dagangan palsu

“Sabit kesalahan syarikat boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu.

“Bagi individu, pesalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Beliau berkata, peniaga diminta berhenti menjual barangan yang mempunyai perihal dagangan palsu.

“Mereka yang ingin menjual barangan berjenama perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik cap dagang sebelum menjual atau memasarkan barangan itu kepada pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 5:10 PM