RAKAMAN gambar tular mengenai status Instagram Story, Tunku Iskandar yang menyatakan hasrat mahu bertanding PRU-15. FOTO Intsagram
Izlaily Nurul AinHussein


TULAR di media sosial mengenai gambar tangkap layar daripada Instagram rasmi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang memberi gambaran mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sejak pagi hari ini, gambar dipercayai daripada Instagram Story Tunku Idris itu mula tersebar di laman sosial dengan gambar tangkap layar pertama memaparkan Tunku Idris berpakaian rasmi Diraja berserta keterangan ‘I am running #PRU15’ (saya bertanding PRU-15).

Satu lagi gambar tangkap layar disertakan dengan keterangan undian pilihan antara parlimen Muar atau Mersing.

Gambar tangkap layar itu kemudian dikongsi beberapa laman komuniti di Facebook (FB) dan ada yang memberi reaksi akan bersama menyokong beliau.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Tunku Idris memuat naik Instagram Story berkenaan kerana semakan pada laman Instagram miliknya mendapati tiada sebarang kenyataan seumpama itu dimuat naik.

Namun, gambar Tunku Idris berpakaian rasmi Diraja ada dimuat naik di entri beliau hari ini, namun bukan di Instagram Story dengan kenyataan ‘I am running #PRU15’ seperti yang tular.

Sehingga kini juga, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Istana Johor yang mengesahkan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 7:58 PM