SEBAHAGIAN daripada 45 individu ditahan menerusi Ops Tapis di sekitar ibu negara pada Rabu hingga Jumaat lalu. FOTO ihsan polis.
Norizuan Shamsuddin


POLIS Dang Wangi menahan 45 individu membabitkan pengedar dan penagih dadah hasil lima serbuan di sekitar ibu kota bermula 24 hingga 26 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, semua suspek terbabit ditahan menerusi Op Tapis dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Dang Wangi bagi tujuan membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di sekitar ibu kota membabitkan kawasan Chow Kit, Tiong Nam, Bukit Bintang, Pudu dan San Peng.

Beliau berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya memeriksa 50 individu termasuk enam wanita sebelum 45 daripadanya ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah itu, lima individu termasuk dua wanita tempatan ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah dan kami merampas sebanyak 31 paket heroin seberat 107.69 gram (g).

“Enam individu bersama seorang wanita tempatan ditahan mengikut 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis menemui dua paket heroin seberat 5.1g, 50 biji pil Erimin 5 (15g), 42 biji pil ekstasi serta satu plastik berisi serbuk ekstasi (30.3g)

“Manakala 11 lelaki termasuk seorang warga Myanmar ditangkap mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan kami merampas 10 paket heroin seberat 21.15g,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rudy berkata, pihaknya turut menahan seramai 19 individu termasuk tiga wanita mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan merampas 14 paket heroin (2.38g) serta 11 paket methaphetamine (8.4g).

Beliau berkata, selebihnya ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek kini direman bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 8:49 PM