KUNAK 29 APRIL 2019. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) ketika hadir pada Karnival Sukan Luar Bandar (KSLB) di Padang Bola Sepak Ladang Mostyn di Kunak. STR/ABDUL RAHEMANG TAIMING.
Abdul Rahemang Taiming


USUL menurunkan umur takrifan belia kepada maksimum 30 tahun, berbanding 40 tahun ketika ini akan dibawa ke Parlimen pada persidangan akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia antara cadangan penambahbaikan yang dilaksanakan kementeriannya berkaitan belia.

Hal itu, katanya, penting bagi memastikan bantuan yang dikhususkan kepada golongan belia berusia bawah 30 tahun yang selama ini terabai diberikan perhatian.

Selain itu, beliau juga mahu belia yang melepasi usia 30 tahun dapat menyumbang dan memberikan khidmat bakti seperti menjadi pemimpin masyarakat atau pemimpin setempat untuk membimbing anak muda lain.

“Ini adalah satu perkara yang kita akan lakukan pada sesi Parlimen akan datang, ada pindaan Akta Belia yang kita nak lakukan dan juga dalam pindaan perlembagaan untuk turunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Penyelarasan had umur belia di seluruh negara juga akan dilaksanakan sebagai agenda utama bagi memperkasakan golongan belia dan anak muda Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai perlawanan persahabatan bola sepak antara Pasukan Pilihan YB Syed Saddiq menentang Pasukan Pilihan Kunak, sempena Karnival Sukan Luar Bandar (KSLB) di Padang Bola Sepak Ladang Mostyn di Kunak, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya mempunyai banyak perancangan untuk menganjurkan dan menggiatkan aktiviti sukan, selain mengenal pasti kawasan tumpuan untuk pembangunan infrastruktur sukan, khasnya di luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa mereka yang berumur 18 tahun ke atas supaya menjadi Ahli Parlimen Belia sebagai persediaan awal sebelum menawarkan diri sebagai Ahli Parlimen pada masa depan.

“Sebagai contoh Ahli Parlimen Batu yang baru berusia 22 tahun dan saya sendiri berusia 25 tahun, bahkan di negara lain banyak anak muda berusia 18 atau 19 tahun sudah menjadi Ahli Parlimen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 9:29 PM