MENYEDARI penyertaan masyarakat dalam aktiviti gotong-royong makin hambar, RCOMM Lestari merancang untuk menyemarakkan kembali aktiviti itu.

Presiden RCOMM Miza Pawan Chik berkata, pihaknya akan mengubah situasi itu dengan menggalakkan penyertaan menyeluruh masyarakat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

“Kita nak ubah. Kalau boleh juga saya nak ubah mengurangkan kos. Kita bukan nak buat majlis ceramah, kita tak perlu khemah yang banyak, kita tak perlu beratus-ratus kerusi.

“Cukup dengan pemimpin setempat mengambil sikap bersama sebagai sukarelawan melaksanakan misi itu dan tidak dipolitikkan. Bukan untuk kepentingan individu atau politik tetapi masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas perasmian prapelancaran Sejahtera Malaysia yang disempurnakan Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz di Institut Integriti Malaysia di Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Penasihat Sejahtera Malaysia Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abd Razak.

RCOMM Lestari adalah sebuah pertubuhan tidak berteraskan keuntungan yang menerajui dan menggerakkan inisiatif Sejahtera Malaysia.

Lima fokus dalam Sejahtera Malaysia iaitu kesukarelawan, kerjasama, pelan memperkasakan masyarakat, perkongsian ilmu dan kemas kini laporan.

Miza berkata, pihaknya mengajak masyarakat melakukan aktiviti itu dengan semangat kesukarelawan tanpa mengharapkan ganjaran dengan nilai tanggungjawab bermula daripada diri sendiri.

“Kita hendak masyarakat setempat turut serta dalam apa-apa program. Itu yang dimaksudkan dengan konsep kesukarelawan dan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, sempena Hari Gotong-royong Sedunia pada 21 September depan, pihaknya akan mengadakan Hari Gotong-royong Sejahtera di 500 lokasi di seluruh negara.

“Tahun lalu iaitu tahun pertama dengan 100 lokasi saja,” katanya yang turut merancang pelbagai program bagi meningkatkan sosioekonomi, menjaga warisan dan hubungan ukhuwah dalam masayarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 11:13 PM
Tunku Zain Al-'Abidin (dua dari kiri) diiringi Miza (kiri) merasmikan majlis prapelancaran Sejahtera Malaysia di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto Aswadi Alias.