AHLI Majlis Gabungan Ukhwah Negeri Sembilan menyerahkan sumbangan makanan kepada gelandangan di sekitar Seremban. FOTO Abnor Hamizam
AHLI Majlis Gabungan Ukhwah Negeri Sembilan menyerahkan sumbangan makanan kepada gelandangan di sekitar Seremban. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


SERAMAI 15 gelandangan sekitar bandar Seremban menerima makanan percuma daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program amal semalam.

Pengerusi Majlis Gabungan Ukhwah Negeri Sembilan, Wan Azro Wan Harun berkata, pihaknya melawat beberapa kawasan tumpuan gelandangan sebelum menghulurkan sumbangan makanan itu.

Menurutnya, seramai 20 ahli NGO terbabit mengagihkan sumbangan bermula 11 malam sehingga 2 pagi di sekitar bandar Seremban, Terminal One dan premis perniagaan di Jalan Tuan Sheikh.

“Selain menghulurkan sumbangan makanan, kita juga mengambil maklumat peribadi mereka untuk diserahkan kepada agensi berkaitan bagi tujuan membantu mereka mendapatkan bantuan sewajarnya.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada gelandangan terbabit, peningkatan kos sara hidup antara punca mereka hidup terbiar.

“Ada antara mereka yang hilang pekerjaan, disisihkan keluarga dan tiada tempat berteduh sehingga terpaksa menjadi gelandangan di sekitar bandar ini,” katanya ketika ditemui selepas program itu.

Selain bertemu gelandangan, Wan Azro berkata, pihaknya juga menyantuni pesakit dan kakitangan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) serta turut mengagihkan bungkusan makanan.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat meneruskan program amal itu selain merancang melaksanakan program kemanusiaan selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 11:25 PM