Suhaila Shahrul Annuar


SETIAP parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) perlu bersedia menghadapi proses peralihan kuasa membabitkan jawatan Perdana Menteri, kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

“Dalam hal itu, bukan saja PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi keseluruhan PH perlu bersedia untuk peralihan kuasa.

“(Sesiapa saja sama ada) Perdana Menteri atau Menteri Besar datang dan pergi. Semua orang dan negara perlu bersedia. Ia sepatutnya berjalan baik.

“Setakat ini, pertukaran kerajaan, Menteri Besar dan Exco, keadaan berjalan dengan lancar.

“Tidak berlaku sebarang ‘malapetaka’ daripadanya,” katanya pada sidang media di KLIA2, Sepang, hari ini bagi mengulas persediaan PKR menghadapi peralihan kuasa itu yang dijangka akan berlaku dalam tempoh setahun akan datang.


ZURAIDA ketika sidang media sempena setahun Pakatan Harapan memerintah di KLIA 2. FOTO Luqman Hakim Zubir

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini tetap dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun wujud usul agar beliau memanjangkan tempohnya mengetuai kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pendirian parti dalam perkara itu tidak berubah.

PKR berpegang teguh kepada persetujuan yang dicapai dan diumumkan pada 7 Januari tahun lalu, yang mana Dr Mahathir diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri Kelapan selepas tempoh dua tahun.

Dalam pada itu, ditanya mengenai polemik yang berlaku antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Dr Mahathir, Zuraida mengulas ringkas, perkara itu berada pada taraf tersendiri.

“Pada saya, (pertukaran pendapat) antara antara TMJ dan Tun (Dr Mahathir) berada pada taraf tersendiri jadi saya tidak rasa kita perlu masuk campur. Biar mereka yang selesaikannya,” katanya.

Baru-baru ini tular video TMJ dalam nada bergurau berkata ‘lebih baik jika Perdana Menteri ditukar’.

Tunku Ismail berkata demikian ketika disapa orang ramai yang meminta baginda menukar jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora ketika baginda dalam perjalanan keluar dari Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor menaiki kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 12:17 AM