KETULAN batu yang jatuh dari bukit memenuhi permukaan jalan di Kampung Sengsang, Pos Brooke. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


ORANG ramai yang melalui Jalan Gua Musang-Lojing berdepan detik cemas apabila ketulan batu runtuh dari bukit sehingga hampir menghempap kenderaan mereka, petang semalam.

Kejadian 7 malam itu berlaku berhampiran Kampung Sengsang, Pos Brooke, dekat Gua Musang, ketika ribut dan hujan lebat menyebabkan air dari bukit turun dengan laju.

Malah, kejadian itu juga memusnahkan tanaman penduduk Orang Asli, namun tidak menjejaskan kediaman mereka.

Pengguna jalan raya, Zakaria Yusoff, 48, berkata, sebelum kejadian dia bersama keluarga dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke Gua Musang.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, dalam keadaan ribut dan hujan lebat, dia melihat ketulan batu terjatuh dari atas bukit tempat diusahakan kebun sayur.

“Pada mulanya hanya beberapa ketulan batu kecil sahaja yang jatuh dan beberapa minit selepas itu semakin banyak dengan disusuli air lumpur mengalir ke permukaan jalan.

“Apabila keadaan semakin teruk, saya terpaksa memecut laju kenderaan dan syukur kami terselamat, namun banyak lagi kenderaan yang terpaksa berhenti di situ.

“Saya lihat kejadian itu amat menakutkan dan nasib baik ketulan batu yang terjatuh tidak menghempap kereta saya,” katanya.

Penduduk Orang Asli Kampung Sengsang, Are Along, 36, berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan dan sebelum ini hanya pernah berlaku di Kampung Jedip.

Katanya, dia juga terkejut apabila melihat air lumpur turun dari bukit dengan kuat bersama ketulan batu ke atas jalan raya.

“Ketika itu, kami berada di rumah yang tidak jauh dari tempat kejadian dan bersiap untuk pindah jika keadaan boleh mengancam keselamatan.

“Sebaik hujan berhenti, saya bergegas ke lokasi dan melihat tanaman sudah musnah,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Pos Brooke Lama, Riang Bujang berkata, kejadian itu membimbangkan keselamatan kebanyakan penduduk Orang Asli.

Katanya, kini boleh dikatakan perkampungan kaum itu tidak lagi selamat kerana semua bukit di sekitarnya digondol syarikat kebun sayur.

“Kita harap pihak berkenaan sentiasa mengambil berat mengenai kejadian seperti itu kerana mungkin jika dibiarkan boleh mengancam nyawa penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 10:52 AM