KOTA KINABALU 30 APRIL 2019. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji memeriksa barisan kawalan kehormatan pada Majlis Perhimpunan Bulanan, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Kota Kinabalu. NSTP/EDMUND SAMUNTING.
Junaidi Ladjana


DUA lelaki disyaki aktif dalam kegiatan curi kenderaan sekitar bandar raya ini ditahan dalam serbuan berasingan, baru-baru ini.

Suspek pertama berusia 20 tahun yang juga warganegara asing ditahan di Jalan Kampung Air, Khamis lalu.

Sementara itu seorang lagi suspek rakyat tempatan berusia 39 tahun ditahan di Kampung Pengesahan dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil tangkapan kedua-dua suspek, polis merampas dua motosikal disyaki dicuri mereka di sekitar bandar raya ini.

“Hasil semakan motosikal berkenaan dilaporkan hilang pada 20 dan 22 April lalu dipercayai dicuri.

“Soal siasat seterusnya mendapati, kedua-dua suspek terbabit lima kes curi motosikal dan empat kes curi kereta di sekitar bandar raya ini sejak hujung 2018,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Pahlawan, Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 1:56 PM