ABDUL Mutalib memakai beret biru kepada anggota komando PASKAU. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


IMPIAN mahu jadi komando sejak bangku sekolah mendorongnya mengikuti kursus asas pasukan khas udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula Januari lalu.

Semangat membara untuk mempertahankan kedaulatan negara menjadikan Laskar Udara Aidil Affandy Ramli, 20, tabah dalam menempuh dugaan dan cabaran sepanjang mengikuti kursus asas komando PASKAU.

Usaha gigih tanpa mengenal putus asa itu berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai rekrut terbaik dalam kursus itu.

Menceritakan pengalaman sepanjang tiga bulan menjalani latihan, Aidil Affandy berkata, pelbagai cabaran dilalui termasuk menjalani latihan di hutan selama sebulan.

“Kami hanya diberikan makanan dalam kuantiti yang sedikit sepanjang menjalani latihan ikhtiar hidup dalam hutan.

“Pernah saya tidak jamah makanan selama beberapa hari dan terpaksa berpuasa akibat terputus bekalan.

“Tapi dengan mempraktikkan ilmu diajar di Sekolah Latihan Tempur, Bukit Ibam, Rompin, kami berjaya mengharunginya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Beret PASKAU dan penutup kursus Komando TUDM Siri 26/2019.

Majlis disempurnakan Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab di Tanjung Selangor, Pekan, hari ini.

Aidil Affandy berkata, ujian berjalan sejauh 160 kilometer (km) selama tiga hari dua malam juga adalah antara cabaran getir perlu dilaluinya bersama rakan rekrut lain.

Beliau yang berasal dari Damak, Jerantut juga tidak tidur selama dua malam apabila terpaksa mendayung sejauh 120km sekitar perairan Rompin.

Sementara itu, Laskar Udara Nik Mohamad Amri Azwar Nik Kamaruddin, 21, dia menyertai PASKAU kerana tertarik dengan kepakaran menyelam dan menyelamat menggunakan tali dimiliki pasukan khas itu.

“Kursus PASKAU ini mengajar kita bagaimana hendak teruskan kehidupan dengan sumber terhad selain menguasai taktik operasi dan tempur,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, walaupun baru setahun dalam perkhidmatan TUDM tapi cukup teruja sebaik dimaklumkan mengenai kursus pengambilan anggota PASKAU sebelum ini dan segera mendaftarkan diri.

Seramai 19 penuntut daripada 32 calon asal berjaya menamatkan kursus ini selepas melalui latihan dan ujian lasak sebelum dianugerahkan beret biru simbolik kepada penyertaan dalam keluarga pasukan khas TUDM itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 2:45 PM