Mazlan (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sijil MC palsu yang dirampas ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


POLIS berjaya menumpaskan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu (MC) susulan penahanan enam orang termasuk dalang utamanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kegiatan itu terbongkar selepas menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai penolong pegawai tadbir di sebuah pejabat kesihatan daerah.

“Pengadu menyatakan ada menerima surat pengesahan dari Hospital Ampang berkaitan sijil cuti sakit kerajaan yang dikeluarkan kepada kakitangan mereka adalah palsu.

“Pihak hospital mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sijil sakit berkenaan dan tiada rekod menunjukkan kakitangan berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang pada tarikh dinyatakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumur, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan awal terhadap kakitangan itu mendapatinya membeli sijil cuti sakit berkenaan pada harga RM25 daripada pihak ketiga.

Menurutnya, bertindak atas laporan polis yang diterima dan hasil maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Risikan/ Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul membuat tangkapan terhadap lima lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 42 tahun di sekitar ibu negara dan Selangor pada minggu lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap suspek, kediaman dan premis percetakan kemudiannya berjaya merampas beberapa barangan.

“Antara yang dirampas itu ialah 216 pelbagai jenis cop doktor klinik swasta dan kerajaan, 4,631 keping MC klinik dan hospital kerajaan, 257 buku sijil MC bersama buku resit rasmi klinik swasta, lima unit telefon bimbit, satu set komputer dan satu unit cakera keras mudah alih,” katanya.

Mazlan berkata, modus operandi digunakan sindiket berkenaan dengan dua ahli sindiket bertindak sebagai orang tengah dan akan menerima tempahan daripada pembeli melalui panggilan telefon serta hanya boleh diperoleh melalui kenalan yang pernah mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Selepas menerima tempahan, orang tengah itu akan berurusan dengan suspek ketiga yang bertindak sebagai penjual MC untuk klinik swasta.

“Sekiranya tempahan pembeli membabitkan MC hospital atau klinik kerajaan, suspek ketiga akan berurusan dengan serang lagi ahli sindiket selaku penjual MC kerajaan,” katanya.

Difahamkan, MC palsu itu dijual kepada orang tengah dengan harga RM10 hingga RM15 sekeping bergantung kepada jumlah tempahan yang diterima.

MC palsu yang sudah siap itu akan diserahkan kepada pembeli oleh orang tengah secara bersemuka dan mereka itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak lapan bulan lalu.

“Dua suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala empat lagi akan disambung reman selepas tamat tempoh reman hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan denda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:41 PM