Operasi menurunkan iklan pinjaman wang tidak berlesen di sekitar Tumpat malam tadi. FOTO Ihsan polis
Operasi menurunkan iklan pinjaman wang tidak berlesen di sekitar Tumpat malam tadi. FOTO Ihsan polis
Siti Rohana Idris


SEBANYAK 138 poster iklan pinjaman wang tidak berlesen diturunkan polis daerah Tumpat dalam masa tempoh tiga jam dengan kerjasama Majlis Daerah Tumpat (MDT) malam tadi.

Operasi itu dijalankan oleh lima anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bersama 10 anggota MDT.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, operasi bermula 8 malam hingga 10.30 malam tadi itu menumpukan lapan lokasi di sekitar Tumpat.

“Operasi dijalankan di sekitar Pantai Sri Tujoh, Pengkalan Kubor, Kelaboran, Wakaf Bharu, Chabang Empat, Pasir Pekan dan sekitar jalan Kampung Morak.

“Sebanyak 138 poster berkaitan pinjaman wang tidak berlesen diturunkan dan sepanjang operasi berlangsung, tiada tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ab Rashid menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan pinjaman seperti itu sebaliknya memilih agensi kewangan yang berlesen jika ingin membuat pinjaman.

“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan pinjaman wang secara haram itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:47 PM