Foto hiasan
Garret Dawum


GARA-gara dendam lama, seorang lelaki cuba menghayun parang ke arah bapanya dalam kejadian di Lorong Kemuyang Timur di Sibu, Ahad lalu.

Detik mencemaskan itu berlaku pada 9.15 malam ketika mangsa berusia 66 tahun itu berada di rumah anaknya itu bersama isteri dan seorang lagi anak.

Bagaimanapun, mangsa yang juga seorang pesara tidak mengalami sebarang kecederaan apabila tindakan suspek dihalang ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun itu tidak berpuas hati kerana ditegur kakaknya.

“Selepas ditegur kerana memarahi anaknya, suspek mengamuk dan mengambil sebilah parang serta cuba menghayunnya ke arah bapa mereka, namun berjaya ditahan kakaknya yang berusia 39 tahun.

“Siasatan awal juga mendapati suspek menyimpan dendam terhadap ayahnya yang kononnya warga emas itu mempunyai hubungan sulit dengan isterinya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, itu adalah kali pertama suspek bertindak sedemikian dan difahamkan dia kerap bercakap seorang diri serta menjerit di dalam rumah.

“Suspek adalah anak keempat dari enam beradik dan sudah berkahwin tetapi tidak tinggal dengan isterinya serta mempunyai dua anak.

“Siasatan masih dijalankan dan suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan dengan menggunakan parang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 7:01 PM