X
KENDERAAN Perodua Alza dipandu Ustaz Alias rosak di bahagian depan selepas terlanggar pokok kelapa tumbang. (Gambar kecil), Ustaz Alias.
KENDERAAN Perodua Alza dipandu Ustaz Alias rosak di bahagian depan selepas terlanggar pokok kelapa tumbang. (Gambar kecil), Ustaz Alias.


BEKAS juara tilawah al-Quran peringkat antarabangsa pada 1980-an, Alias Abd Rahman, 72, yang hilang hampir 18 jam ditemui selamat di kawasan semak di Kampung Tok Kapur, Binjai, Chukai, hari ini.

Beliau yang dikenali sebagai Ustaz Alias ditemui terbaring di kawasan semak dalam keadaan dahaga dan kelaparan pada 2.30 petang.

Anaknya, Fairuz, 40, berkata, kehilangan ayahnya disedari ketika dia mahu menjemput ayahnya yang mengajar di Masjid Binjai, Chukai pada 9.15 malam tadi.

“Seperti biasa, ayah akan ke masjid dengan kereta dan saya akan mengambilnya kerana mata ayah rabun akibat penyakit kencing manis.

“Bagaimanapun, saya lewat menjemputnya kerana terbabit dalam kemalangan kecil dan sebaik tiba di masjid, saya dapati ayah tiada di situ.

“Saya menyangka ayah sudah pulang ke rumah, namun sebaik tiba di rumah, ibu, Mariam Abdullah, 74, memaklumkan ayah masih belum pulang sebelum saya segera mencarinya,” katanya.

Fairuz berkata, dia bersama ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung tidak tidur mencari bapanya sebelum membuat laporan polis selepas usaha mencari menemui jalan buntu.

Malah, kehilangan warga emas itu turut tular di laman sosial sebelum penduduk kampung menemui kereta Perodua Alza dipandu warga emas terbabit di dalam semak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.

“Saya ke lokasi kejadian tengah hari tadi dan terkejut apabila mendapati bahagian depan kereta ayah rosak akibat terlanggar pokok kelapa yang tumbang di kawasan itu.

“Malah, saya pelik bagaimana kereta ayah boleh berada di situ kerana kawasan ini tidak dilalui orang ramai,” katanya.

Fairuz berkata, ayahnya ditemui di kawasan semak kira-kira enam kilometer dari lokasi keretanya oleh seorang penternak lembu yang kebetulan mencari lembu hilang.

“Saya percaya ayah tidak menemui jalan pulang sebelum kereta dipandunya itu terbabas di dalam semak.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang turut serta mencari bapa sehingga dia ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 7:58 PM