SUSPEK ditahan PPM. FOTO ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki Pala’u termasuk seorang juragan kerana disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Bum-Bum, Semporna, petang semalam.

Semua suspek berumur 18 tahun hingga 50 tahun itu ditahan susulan maklumat Unit Risikan Marin (URM) selepas bot yang dikendalikan mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan antara jam 5.30 hingga 5.45 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan di dalam ruangan perahu menemui pelbagai jenis ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Dianggarkan sebanyak 32 kilogram (kg) ikan dipercayai hasil tangkapan menggunakan kaedah bahan letupan (aktiviti mengebom).

“Suspek juga mengaku menjalankan aktiviti terbabit sejak sekian lama, namun dapat meloloskan diri setiap kali cuba ditahan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, suspek yang berasal dari Kampung Labuan Haji itu di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Turut dirampas bot pam bersama enjin sangkut yang digunakan dalam kegiatan itu dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9,060.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) (d) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 12:57 PM