GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hadzlihady Hassan


SIASATAN terhadap seorang penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang disambung reman selama enam hari, semalam, menunjukkan perkembangan positif.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, dalam siasatan yang dilakukan itu pihaknya berjaya mengesan pemilik syarikat lori yang dikatakan terbabit dalam pemberian rasuah kepada pegawai JPJ di Pulau Pinang.

Menurutnya, setakat ini pemilik syarikat lori itu memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam membantu siasatan berhubung kes rasuah terbabit.

“Selepas disambung reman, pegawai JPJ berkenaan akhirnya ‘membuka mulut’ ketika siasatan dilakukan terhadapnya, semalam.

“Setakat ini, kita masih lagi meneruskan siasatan dan percaya akan ada lebih banyak perkembangan positif dan petunjuk baru yang bakal ditemui,” katanya.

Semalam, pegawai JPJ berusia 30-an itu disambung reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pemilik syarikat lori.

Pegawai JPJ terbabit sebelum ini ditahan SPRM dalam fasa ketiga yang membabitkan 21 individu, Selasa minggu lalu.

Dia bersama seorang pegawai JPJ Perlis dan bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kemudian direman selama tujuh hari.

Bagaimanapun, pegawai JPJ Perlis dan bekas anggota SPAD berkenaan dibebaskan selepas itu.

Penahanan pegawai JPJ terbabit juga turut membawa kepada rampasan pacuan empat roda miliknya iaitu Ford Ranger yang baru setahun dibelinya.

Rampasan itu dilakukan di bengkel selepas pegawai terbabit didapati menyorokkan Ford Ranger berkenaan apabila mengetahui namanya antara yang tersenarai untuk diambil keterangan oleh SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 2:54 PM