ANTARA bot nelayan asing ditahan di Jeti APMM Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan.
ANTARA bot nelayan asing ditahan di Jeti APMM Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan.


NELAYAN Vietnam menceroboh perairan negeri ini dikesan memiliki buku catatan mengandungi senarai aset maritim pihak berkuasa negara menjalankan rondaan di laut.

Senarai itu membantu mereka mengenal pasti aset penguat kuasa maritim negara dan melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan.

Malah mereka juga dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan sekitar perairan negara agar mudah untuk meloloskan diri.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, senarai aset maritim itu disalin dalam satu buku catatan dirampas daripada sebuah bot tempatan ditahan Jumaat lalu.

“Jadi kami tidak menolak kemungkinan senarai aset maritim berkenaan disediakan pengusaha bot tempatan dikaitkan sebagai dalang dalam isu pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan Laut China Selatan.

“Perkara itu masih dalam siasatan kami. Penemuan itu membuktikan nelayan berkenaan sentiasa berwaspada dengan kehadiran penguat kuasa maritim negara khusus APMM,” katanya.

Muhammad Suffi berkata, walaupun pelbagai helah dan taktik digunakan nelayan berkenaan pihaknya tidak pernah berputus asa malah akan bertindak lebih agresif.

Malah, pihaknya juga tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan mahkamah terhadap pemilik bot atau pengusaha tempatan yang mengalibabakan lesen mereka kepada

nelayan terbabit.

“Tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha bot tempatan yang bersekongkol dengan perompak hasil laut negara juga antara cabaran utama kami dalam menangani isu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 3:53 PM
Digital NSTP Subscribe