CHE Soh (duduk kanan) bersama isteri, anak dan cucu ketika berkumpul di Kampung Babong, Sering, Kedai Lalat, Kota Bharu, hari ini. FOTO Fathil Asri.
CHE Soh (duduk kanan) bersama isteri, anak dan cucu ketika berkumpul di Kampung Babong, Sering, Kedai Lalat, Kota Bharu, hari ini. FOTO Fathil Asri.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“PENYAYANG, lucu, bekeng (garang) dan adil antara resipi perkahwinan saya amalkan dalam rumah tangga supaya hidup kekal harmoni bersama semua isteri.

“Sikap ini membuatkan isteri saya dapat berbaik di antara satu sama lain, manakala anak berlainan ibu dapat berkasih sayang sesama mereka,” kata guru silat, Che Soh Che Ahmad, 72.

Che Soh yang tinggal di Kampung Babong, Sering, Kedai Lalat, Kota Bharu berkahwin 19 kali dan mempunyai 46 anak berusia antara 15 hingga 50-an serta 200 cucu.

Ketika ditemui Che Soh yang turut dikenali sebagai Che Soh Isteri Ramai atau Che Soh Tok Dekar berkata, 46 anak itu dilahirkan 12 isterinya, namun kini hanya tinggal 39 anak selepas tujuh daripadanya meninggal dunia.

Katanya, kali terakhir dia berkahwin ketika berusia 55 tahun dengan isteri ke-19 berusia 16 tahun sebelum mereka bercerai selepas dua minggu kemudian kerana tiada jodoh.

“Selepas itu, saya tidak berkahwin dan mahu menjaga isteri dan anak yang ada. Ketika ini, saya mempunyai tiga isteri iaitu Mariam Kadir, 60, Hasnah Che Omar, 58, dan Zawahir Mat, 59, yang hidup harmoni di antara satu sama lain.

“Alhamdulillah, sebelum ini empat isteri saya dapat hidup sebumbung selama 10 tahun sebelum seorang daripada mereka meninggal dunia.

“Saya mengambil keputusan membina rumah kepada tiga isteri berdekatan kampung ini lebih 30 tahun yang lalu.

“Sebagai seorang suami, paling utama mesti bersikap adil membuat giliran, penyayang, lucu dan bekeng (garang) baharu isteri mendengar kata. Semua isteri dan anak akrab serta tidak pernah berbalah. Jika ada masalah kami akan bincang dan selesaikan bersama,” katanya.

Che Soh berkata, mereka anak beranak kerap berkumpul bersama terutama ketika menyambut hari raya kerana boleh mengeratkan hubungan sesama mereka.

Malah, katanya, isteri serta anaknya turut diajar ilmu silat bagi mempertahankan diri.

“Jika membuat kenduri, kami akan berkumpul kerana semua anak tinggal di Kelantan. Alhamdulillah, saya tidak pernah membezakan kasih sayang di antara satu sama lain, mungkin ini yang membuatkan isteri tertarik dengan saya.

“Namun, saya tidak galakkan anak mengikut jejak langkah untuk beristeri ramai. Tetapi ada dua anak yang turut berkahwin lebih daripada seorang,” katanya.

Sementara itu, Mariam berkata, dia tidak kisah suaminya beristeri ramai kerana mampu dan bersikap adil.

“Saya berkahwin ketika berusia 16 tahun dan terpikat dengan suami kerana penyayang serta mengambil berat walaupun pada masa itu dia sudah ada isteri.

“Kini saya menjadi isteri pertama dan hubungan dengan madu sangat rapat kerana pernah tinggal sebumbung selama 10 tahun.

“Hasil perkahwinan saya mempunyai sembilan anak dan tiga daripadanya meninggal dunia.

“Kasih sayang dengan anak tiri tiada beza kerana saya menganggap mereka seperti anak sendiri, begitu juga madu yang menganggap anak saya seperti anak sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 4:15 PM