SUSPEK didapati melarikan telefon bimbit yang diletakkan di dalam kereta ketika pemiliknya menunaikan solat Zuhur di Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


ORANG lain solat, dia pula mencuri. Itu dilakukan seorang lelaki apabila melarikan telefon bimbit ketika pemiliknya sedang menunaikan solat Zuhur di Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, lelaki berusia 39 tahun terbabit mencuri telefon bimbit yang ditinggalkan di dalam kereta oleh pemiliknya.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di masjid dan polis sudah mengenalpasti identitinya berdasarkan kepada nombor pendaftaran motosikal digunakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek didapati membuka pintu bahagian penumpang hadapan kereta terbabit dan mencuri telefon bimbit yang diletakkan di bawah kerusi.

“Mangsa iaitu lelaki berusia 25 tahun yang baru selesai menunaikan solat Zuhur berjemaah terkejut selepas keluar dari masjid dan mendapati pintu keretanya dalam keadaan tidak berkunci.

“Dia mendapati telefon bimbit Asus miliknya sudah hilang,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa memberitahu ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang kemudian membawanya melihat rakaman CCTV.

“Rakaman CCTV menunjukkan suspek menunggang motosikal Honda EX5 merah melarikan diri selepas mencuri telefon bimbit mangsa.

“Hasil semakan nombor pendaftaran, kami dapati motosikal itu milik bapa suspek yang tinggal di Pahang,” katanya.

Menurutnya, polis menghubungi bapa suspek dan dia memberitahu yang motosikal terbabit memang digunakan anaknya yang kini tinggal di Pulau Pinang.

Katanya, polis sudah mengenalpasti identiti suspek dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai dua rekod lampau kes curi.

“Suspek kini sedang diburu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:25 PM