Antara pekerja yang hadir pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A’isyah Sukaimi


PENERIMA Anugerah Tokoh Pekerja Negara Orang Kurang Upaya (OKU) 2019, Dr Azian Sofia Amin, 35, mahu membuktikan golongan OKU juga boleh memberi sumbangan kepada negara sebagai pekerja yang produktif dan proaktif.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mahu lebih banyak majikan memberi ruang kepada pekerja OKU untuk bekerja dan menghapuskan diskriminasi kepada pekerja OKU.

“Saya menjadi pensyarah di UKM sudah sembilan tahun dan menjadi OKU ketika berusia 16 tahun selepas menghidap kanser tulang sekali gus kehilangan kaki kanan.

“Kepada golongan OKU, jangan putus asa dan buktikan kita boleh memberi sumbangan kepada diri, keluarga dan orang lain walau apa pun kata-kata orang, anggap sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya,” katanya.

Dr Azian Sofia adalah salah seorang penerima daripada 11 kategori anugerah sempena Sambutan Hari Pekerja 2019 bertemakan “Pekerja Amanah, Aspirasi Negara”.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.

Dr Azian Sofia membawa pulang hadiah piala, sijil dan cek bernilai RM5,000.


Dr Azian Sofia dan penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif), Zulkhaiee Othman bersama piala diterima. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang Sdn Bhd, Datuk Jaseni Maidinsa diumumkan penerima Anugerah Perdana Menteri Tokoh Mahir 2019.

Antara sumbangan beliau adalah dengan Penubuhan Akademi Perkhidmatan Air Pulau Pinang (PWSA).

Jaseni berkata, PWSA adalah hasil usaha yang mendapat kerjasama dan sokongan daripada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang kini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Penubuhan akademi ini adalah pertama di Malaysia dan kita juga ada kampus di Melaka.

“Esok satu majlis menandatangani perjanjian bersama Persatuan Air Malaysia diadakan bagi pembukaan cawangan kampus di Kuala Lumpur.

“Terima kasih kepada warga PBA Pulau Pinang Sdn Bhd serta ahli lembaga selain Ketua Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau menerima piala, sijil penghargaan dan cek RM10,000.

Jaseni, 62, sudah berkhidmat di perbadanan itu selama 34 tahun iaitu bermula dari bawah sehingga dilantik Ketua Pegawai Eksekutif sejak 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 6:09 PM