YOGESWARAN melihat tapak pembuangan sampah haram di tepi Lebuhraya Kajang-Seremban dekat Mantin.

SEBUAH kilang yang beroperasi di daerah ini dipercayai melakukan pembuangan sampah haram di lokasi berhampiran sebuah kolej swasta dan tepi Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini.

Ahli Majlis Perbandaran Nilai (MPN) B Yogeswaran berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang anggota bomba mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan itu dilakukan sebuah kilang sejak awal tahun ini.

“Susulan aduan itu, saya ke lokasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan mendapati longgokan sampah serta sisa pepejal dibuang di lokasi itu.

“Kegiatan itu bukan saja mengundang rasa tidak selesa penduduk sekitar terutama pelajar kolej berhampiran, malah kedudukan berhampiran LEKAS memberi imej tidak baik.

“Saya sudah membuat aduan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengenai perkara berkenaan dan berharap tindakan susulan diambil kepada pihak tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Yogeswaran berkata, pihaknya juga mendapatkan maklumat lanjut dan menjalankan siasatan mengenai kegiatan pembuangan sampah haram itu.

Katanya, MPN tidak akan berkompromi dengan kegiatan tidak bertanggungjawab yang boleh mencemarkan imej perbandaran.

“Saya mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat pembuangan sampah haram melaporkan kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:30 AM