SEBUAH kilang memproses barangan plastik musnah dalam kebakaran di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima kecemasan daripada orang awam pada 1.30 pagi.

“Sepasukan 34 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas, Sungai Pinang, Kota Anggerik dan Kota Raja dikerah memadamkan kebakaran itu.

“Setibanya di lokasi, api sedang marak memusnahkan hampir 60 peratus kilang berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal kebakaran sekali gus mengelak ia merebak ke kilang lain dan lori kontena yang berada berdekatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil tindakan mengikut konsep RECEO iaitu membuat penyelamatan, pemadaman dan pengudaraan bagi memadamkan kebakaran.

Kata Hafisham, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerja memadam api selesai sepenuhnya pada 2.10 pagi.

“Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 10:31 AM
Kilang memproses barangan plastik di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang musnah terbakar pagi tadi. FOTO ihsan Bomba