LIMA anggota bomba cedera termasuk tiga parah selepas jentera bomba dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 25.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Mohd Hafizee Mohd Arop


LIMA anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik cedera termasuk tiga parah apabila jentera bomba dinaiki mereka terbabas selepas cuba mengelak sekumpulan kera di Kilometer 25.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, anggota bomba parah adalah Ahmad Suhaimi Ibrahim, 51; Mohd Nizam Zakaria, 48, dan Mohd Firdaus Mohd Sarif, 30.

Manakala dua cedera adalah Sirol Aflah Abu Hassan, 37, dan Mohamad Azizul Mohamad Ali, 21.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati jentera berkenaan dalam perjalanan pulang ke BBP Gerik selepas selesai tugas memadam kebakaran di Kilometer 38.6 JRTB Gerik-Jeli.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu laluan berselekoh dan menurun bukit, pemandu jentera berkenaan dipercayai cuba mengelak sekumpulan kera yang melintas dari kanan ke kiri jalan.

“Selepas mengelak, jentera gagal dikawal dan terbabas sebelum terbalik menyebabkan lima anggota di dalamnya cedera termasuk tiga parah.

“Semua mangsa yang parah sudah dirujuk ke Hospital Taiping manakala yang cedera menerima rawatan di Hospital Gerik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, tiga mangsa yang parah masing-masing dua daripadanya patah kaki kiri manakala seorang lagi cedera di muka serta patah gigi serta dua lagi anggota hanya cedera di kaki dan luka di kepala.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

'Jentera bomba 'hancur''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 4:01 PM