Yeo Bee Yin pada sidang media sempena setahun Pakatan Harapan memerintah di MESTECC. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

BERNAMA

KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melantik Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor baharu yang diberi amanah menguatkan jentera jabatan itu bagi mengatasi isu pencemaran sungai di Johor antaranya meningkatkan penguatkuasaan di kawasan perindustrian negeri.

Menterinya Yeo Bee Yin berkata, ia bertujuan menyelamatkan 20 sungai yang diklasifikasikan sebagai tercemar di Johor di samping mengelak insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Mac lalu berulang.

“Kawasan perindustrian Pasir Gudang adalah kawasan membangun, jadi kita mahu mengawal pengeluaran (sisa kimia) bukan saja dari kilang berlesen tetapi juga kilang haram,” katanya dalam temu bual sempena setahun Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Tanpa menghuraikan butiran lanjut mengenai pengarah berkenaan, Yeo berkata, pengarah baharu yang akan memulakan tugas beberapa minggu lagi itu diberi masa dua tahun untuk melakukan pembaharuan dan meningkatkan jentera penguatkuasaan JAS di Johor.

Mac lalu, pencemaran di Sungai Kim Kim susulan pembuangan sisa toksik mengakibatkan kesihatan ribuan orang awam di kawasan sekitar terjejas di samping menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup.

Sementara itu, Yeo berkata, kementerian dalam proses merangka draf bagi menggubal rang undang-undang (RUU) baharu perlindungan alam sekitar bagi menggantikan akta sedia ada.

“Sejak insiden Sungai Kim Kim, kita dapati akta sedia ada tidak cukup …matlamat utama penggubalan akta baharu adalah untuk memperkukuh dan memantapkan pelaksanaan tugas JAS selaras dengan perkembangan terkini pengurusan dan isu alam sekitar, penggunaan teknologi kawalan pencemaran terbaik dan obligasi negara terhadap konvensyen antarabangsa,” katanya.

Yeo berharap RUU berkenaan akan dapat dibentang selewat-lewatnya hujung tahun ini selepas beberapa lagi proses termasuk libat urus bersama pihak berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:59 PM