Nor Hisyam (tengah) melihat pelan cadangan peletakan bit dan logistik Bazar Ramadan Jalan Raja. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Mohamad Hussin


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup sebahagian Jalan Raja yang akan dijadikan laluan sehala dari simpang Jalan Tun Perak hingga ke simpang Leboh Pasar Besar ke arah Jalan Sultan Salahudin bagi memberi laluan tapak bazar Ramadan mulai 1 Mei hingga 10 Jun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tapak bazar Ramadan Jalan Raja akan bermula dari persimpangan lampu isyarat Leboh Pasar Besar hingga ke Jalan Perak yang beroperasi dari 6 Mei hingga 5 Jun ini.

Beliau berkata, aktiviti bazar Ramadan Jalan Raja tidak membabitkan kawasan padang Dataran Merdeka dan peniaga hanya dibenarkan menjalankan perniagaan di dalam kawasan kanopi berbumbung saja.

“Sebanyak 344 petak bazar Ramadan disediakan kepada peniaga membabitkan lima kategori jualan yang dibenarkan antaranya pakaian, barangan/peralatan kering, makanan kering berbungkus, perhiasan dan aksesori diri serta perhiasan dan aksesori rumah.

“Bagi memastikan keadaan kebersihan dan aktiviti perniagaan dijalankan secara teratur, pasukan penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi bagi memantau dan mengawal keadaan persekitaran.

“Tapak bazar ini strategik kerana terletak berhampiran Dataran Merdeka serta tarikan kolam biru, Masjid Jamek serta bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak bazar Ramadan di Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka hari ini.

Nor Hisham berkata, peniaga dan pengunjung bazar Ramadan itu boleh menggunakan kemudahan parkir di Plaza Dataran Merdeka atau tempat letak kereta awam di sekitar kawasan itu selain pengangkutan awam.

“Sepanjang Ramadan ini, DBKL mewujudkan Sekretariat Bilik Gerakan Bazar Ramadan untuk menyelaraskan aktiviti bazar Ramadan di sekitar ibu kota yang berpusat di Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan DBKL.

“Dari segi keselamatan, lima bit kawalan penguatkuasaan disediakan di lokasi bazar Ramadan Jalan Raja untuk tujuan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan.

“Kos keseluruhan bagi pelaksanaan Program Bazar Ramadan 2019 di sekitar bandar raya ini RM2.5 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 8:17 PM