ANTARA PATI yang rata-rata dari benua Afrika ditahan dalam operasi khas polis dan Jabatan Imigresen. FOTO Ihsan Polis


LELAKI warga asing meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri dekat Flora Damansara, Petaling Jaya, ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Lelaki berasal dari benua Afrika itu melarikan diri ketika Ops Bersepadu Khas Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, pada 6 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, seorang lagi lelaki warga asing patah kaki kanan ketika cuba melarikan diri dalam operasi itu.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 69 warga asing di sekitar Flora Damansara selepas mendapat aduan orang awam sebelum menahan 46 daripada mereka.

“Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan iyu membabitkan 13 warga Nigeria, Uganda (empat), Afrika (seorang), Bangladesh (15), Indonesia (enam), India (seorang), Myanmar (tiga), Ghana (seorang) dan Filipina (seorang) serta seorang lagi belum dikenal pasti,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Beliau berkata, dalam ops yang tamat 10 malam itu, seorang lelaki cuba melarikan diri dengan memanjat turun dari luar bangunan, namun terjatuh dan disahkan meninggal dunia.

“Seorang lagi lelaki cuba terjun dari tangga dan patah kaki kanan. Kedua-duanya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Pihak kami juga turut menahan seorang lelaki warga Nigeria yang didapati menyimpan 21 kad pelajar dan dokumen peribadi warga asing dipercayai palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 12:57 AM