HAIDA bersama tiga anaknya di hadapan bangsal usang tempat tinggal mereka lebih setahun lalu di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri.
HAIDA bersama tiga anaknya di hadapan bangsal usang tempat tinggal mereka lebih setahun lalu di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri.
Ramli Ibrahim


GUA MUSANG: Lima beranak terpaksa tinggal di bangsal usang akibat kemiskinan hidup sejak lebih setahun lalu di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri, di sini.

Bangsal yang dibina di tanah kerajaan itu juga uzur dengan atap bocor, berdindingkan zink dan kain serta berlantaikan kayu reput.

Haida Abdullah, 32, berkata, dia tinggal di bangsal usang itu selepas tidak mampu menyewa rumah kerana pendapatan suaminya tidak menentu setiap bulan.

Katanya, suaminya, Auseng Ngoh, 35, yang mengambil upah menoreh getah hanya memperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan.

“Sebelum ini, kami pernah tinggal di beberapa rumah sewa sekitar bandar ini, tetapi disebabkan tidak mampu membayar sewa, kami tinggal di bangsal ini walaupun tidak sempurna.

“Kami mempunyai tiga anak masih bersekolah berumur tujuh hingga 12 tahun dan pendapatan diperoleh sekadar cukup untuk perbelanjaan mereka dan makan saja.

“Walaupun kami hidup miskin, kami tidak mahu mengganggu pelajaran anak kerana itu masa depan mereka,” katanya.

Haida berkata, dia juga memasak dan membekalkan nasi setiap hari kepada tiga anaknya untuk dibawa ke sekolah kerana tidak mampu menyediakan wang setiap hari.

NUR Asyikin, 11, menunjukkan lantai bilik tidurnya yang berlubang kerana papan digunakan reput.
NUR Asyikin, 11, menunjukkan lantai bilik tidurnya yang berlubang kerana papan digunakan reput.

“Setiap hari, kami bangun awal dan membawa tiga anak ke sungai untuk mandi berikutan bangsal kami tidak mempunyai bekalan air.

“Kami juga mengajar tiga anak membaca dan menulis setiap malam menggunakan lampu picit kerana tidak ada elektrik. Setiap kali hujan, kami tidur dalam keadaan basah kerana keseluruhan atap bocor.

“Sudah beberapa kali kami mohon bantuan rumah daripada kerajaan, namun tidak dilayan dan kami berharap ada pihak mempertimbangkan permintaan kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Hizani Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan siasatan terhadap keluarga itu dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:30 AM