ANTARA pekerja asing yang ditahan anggota Imigresen dan RELA di sekitar kawasan tapak pembinaan di Alor Setar. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman


SERAMAI 27 pekerja asing lintang-pukang ke dalam sawah di kawasan tapak pembinaan di sekitar Alor Setar bagi mengelak ditahan anggota penguatkuasa, semalam.

Mereka bagaimanapun ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dengan kerjasama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam operasi bersepadu Ops Belanja dan Ops Selera.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 11.15 pagi sehingga 4.30 petang itu, pihaknya menahan dua lelaki Indonesia, lapan lelaki warga Bangladesh dan 15 lelaki serta dua wanita warga Myanmar.

“Apabila menyedari kehadiran anggota JIM dan RELA, mereka terus lari, ada cuba bersembunyi di kawasan semak dan ada yang lari ke kawasan sawah.

“Namun dengan bantuan 43 anggota RELA, mereka semua dapat ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata, dalam operasi itu seramai 123 pekerja asing yang diperiksa, namun 27 ditahan selepas melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, kesemua pekerja asing berusia antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Selain itu mereka turut ditahan selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah .

“Kesemua mereka ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:11 AM