KELUARGA miskin, Haida Abdullah, 32 bersama anak lelakinya mengusung pintu rumah yang dicabut apabila hendak keluar rumah di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri. FOTO Ramli Ibrahim
KELUARGA miskin, Haida Abdullah, 32 bersama anak lelakinya mengusung pintu rumah yang dicabut apabila hendak keluar rumah di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


LIMA beranak yang tinggal di bangsal usang di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri, di Gua Musang, sejak lebih setahun lalu, perlu dibantu bagi mendapat rumah yang selesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, masalah keluarga itu tidak harus dibiarkan kerana pasangan terbabit, Auseng Ngoh, 35, dan isterinya, Haida Abdullah, 32, mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Beliau bimbang jika kesusahan mereka berterusan akan menjejaskan tumpuan pelajaran tiga anak.

“Saya akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) berhubung perkara itu.

“Kita amat sedih melihat kehidupan lima beranak yang tinggal dalam bangsal usang kerana tidak mampu menyewa rumah,” katanya ketika melawat lima beranak itu, hari ini.

Hari ini, Harian Metro melaporkan lima beranak tinggal di bangsal usang di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri kerana kemiskinan hidup.

Lebih menyedihkan, keadaan bangsal dibina di atas tanah kerajaan itu cukup uzur dengan atap bocor serta berdindingkan zink dan kain, selain berlantaikan kayu reput serta tiada bekalan air dan elektrik.

Mohd Syahbuddin berkata, keluarga terbabit juga mengakui pernah memohon rumah bantuan banjir selepas rumah sewanya di Kampung Baru, di bandar ini dihanyutkan banjir besar Disember 2014.

Katanya, beliau menggesa pihak berkenaan menyemak semula permohonan rumah bantuan banjir keluarga terbabit.

“Kita juga terkejut apabila dimaklumkan mereka terpaksa tinggal di bangsal usang kerana tiada pilihan kerana tidak mampu membayar rumah sewa,” katanya.

Berita berkaitan

Tak mampu sewa rumah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:21 AM