Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SEORANG anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berkaitan kes dadah, empat tahun lalu.

Sarjan Jad Firdaus Mohd Ali, 30, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Balai Polis Bukit Puchong secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM700 daripada seorang lelaki melalui transaksi bank pada 22 Disember 2015 di Jalan Bank, Kuantan.

Suapan yang diterima sebagai dorongan untuk tidak menjalankan siasatan ke atas anggota keluarga lelaki berkenaan berkaitan kes dadah yang disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar yang mengendalikan kes menawarkan jaminan berjumlah RM7,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela Aliff Bolkin yang mewakili Jad Firdaus bagaimanapun memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu memberi kerjasama penuh kepada SPRM selama ini.

“Anak guam saya sehingga kini sudah 41 kali hadir di pejabat dan kos ikat jamin bertujuan memastikan kehadiran beliau ke mahkamah,” katanya.

Mohd Ghazali, kemudian membenarkan jaminan berjumlah RM3,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 31 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:58 AM
Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan meminta rasuah berkaitan kes dadah, empat tahun lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang