KECEDERAAN pada tangan, lutut dan kaki mangsa. FOTO Ihsan Pembaca.
Siti Rohana Idris


SEORANG pembantu kedai cedera selepas terjatuh dari motosikal, akibat diragut dua lelaki di Kampung Pauh Sebanjar, Simpangan, Tumpat, 7.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, akibat kejadian mangsa berusia 22 tahun luka di lutut, kaki, tangan dan muka.

Katanya, mangsa menunggang Honda Dash dari tempat kerja dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bendang Pak Yong.

“Ketika melalui kawasan selekoh ada sebuah motosikal dinaiki dua lelaki mengekori mangsa dari belakang.

“Seorang dari suspek kemudian menyambar beg duit mangsa diletakkan dalam bakul motosikalnya,” katanya.

Ab Rashid berkata, suspek turut menolak motosikal mangsa menyebabkan wanita itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

Menurutnya, akibat kejadian mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM1,700 membabitkan wang tunai RM200 dan seutas rantai emas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 2:34 PM