Semalam akhbar ini melaporkan dua suspek ditahan.
Mohd Sabran Md Sani


SEORANG lagi suspek ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pukul dua pekerja kilang di sebuah stesen minyak di Tanjung Kupang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Iskandar Puteri pada 2 petang.

“Tindakan menahan suspek selepas dia bersama seorang lagi yang masih bebas diperlukan bagi membantu siasatan kes pukul dua pekerja kilang di Singapura, Selasa lalu.

“Penahanan suspek terbaharu itu menjadikan individu ditahan setakat ini seramai tiga orang selepas dua daripada mereka ditahan di Pasir Gudang, jam 11.40 malam, Rabu lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pekerja kilang di Singapura cedera di dahi dan mulut akibat dipukul sekumpulan lelaki menggunakan topi keledar dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Selasa lalu.

Kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu mengakibatkan mangsa terpaksa mendapatkan empat jahitan di dahi akibat dilibas menggunakan topi keledar oleh lelaki tidak dikenali.

Terdahulu insiden berkenaan tular di Facebook yang menyifatkan perbuatan lelaki berkenaan sebagai keterlaluan.

Berikutan itu, dua lelaki ditahan, manakala dua lagi diburu polis selepas mangsa berusia 21 tahun membuat laporan pada jam 7.28 petang hari kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 3:20 PM