Mohd Sofi (dua dari kanan) dan Fadhilah (dua dari kiri) bergambar bersama Zailani (kiri) dan penerima faedah pencen penakat, Zulkapli Md Yassin, 59, (kanan) selepas Majlis Penyampaian Faedah dan Taklimat PERKESO, di Wisma PERKESO, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC). FOTO Khairunisah Lokman.
Mohd Hilmie Hussin


SELEPAS tiga tahun terlantar akibat menghidap ketumbuhan dalam otak, seorang guru agama sekolah di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyedari dia layak mendapat faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.

Zailani Sabtu, 54, penyelia asrama sebuah sekolah di negeri ini berkata, isterinya Norlizah Taib, 50, mempunyai ketumbuhan dalam otak dan tidak mampu bergerak sendiri.

“Isteri berkerja sebagai guru agama JAIM selama lebih 20 tahun berstatus kontrak. Sebenarnya saya tidak tahu yang dia ada caruman PERKESO, namun seorang rakan minta saya membuat semakan dengan pihak berkenaan.

“Alhamdulillah, selepas tiga tahun terlantar saya berhubung dengan PERKESO pada 3 Oktober tahun lalu,” katanya.

Zailani ditemui selepas mewakili isterinya menerima pencen ilat sebanyak RM1,168.75 dan elaun layanan sentiasa (ELS) RM500, setiap bulan daripada PERKESO yang disampaikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka di bangunan PERKESO Melaka, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Selain Norlizah, empat lagi bekas kakitangan berstatus kontrak JAIM, menerima Faedah Pencen Penakat.

Menurut Pengarah PERKESO negeri Fadhilah Hamil, dalam majlis penyampaian faedah dan taklimat PERKESO bersama anggota JAIM itu, pihaknya membuat pembayaran RM120,060.49 kepada lima penerima terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 5:00 PM