INTAN Nur Syiffa kali terakhir dilihat menghala ke sungai di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Safuri Kamarudin


KANAK-KANAK orang kurang upaya (OKU) bisu dan hiperaktif dipercayai hilang dari rumah di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling, hari ini.

Kanak-kanak berkenaan, Intan Nur Syiffa Aleya Musliha, 6, disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tidak pulang ke rumah sejak tengah hari.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2 petang dan lapan anggota bergerak ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, maklumat awal daripada penduduk menyatakan mereka ternampak kanak-kanak itu menghala ke sungai berdekatan kampung itu.

“Penduduk ternampak kanak-kanak itu menghala ke sungai tengah hari ini.

“Kanak-kanak itu juga seorang hiperaktif dan tidak boleh bercakap, malah sering bermain di luar rumah,” katanya.

Mohd Faizol berkata, mangsa keluar dengan memakai baju merah jambu dan seluar coklat.

Beliau berkata, operasi mencari dilakukan di sekitar sungai dan kuari pasir serta hutan kampung berkenaan.

“Kami berpecah mencari kanak-kanak itu di kawasan tebing sungai dan hutan berdekatan.

“Sehingga ini belum menemui petunjuk mengenai mangsa yang hilang itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:28 PM