Muhamad Nadina (dua dari kiri) serta AJK masjid memasak bubur lambuk ketika prapelancaran bubur lambuk Ramadan ini. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


PENGGUNAAN bumbu istimewa dan tukang masak berpengalaman menjadikan bubur lambuk Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa, Segamat antara juadah paling dinanti penduduk tempatan setiap Ramadan.

Pengerusi Masjid Jannatul Firdaus Kampung Jawa, Mohd Elham Mohd Soheh, 62, berkata, walaupun jawatankuasa masjid hanya bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sejak lapan tahun lalu, keenakan bubur berkenaan diminati penduduk termasuk di kawasan luar.

“Alhamdulillah, kami bertuah kerana mempunyai ketua tukang masak bubur lambuk, Muhamad Nadina, 73, yang berpengalaman dan pernah menyediakan pelbagai hidangan untuk jemaah haji pada 2003.

“Malah masakannya turut dihidangkan kepada umat Islam dari Indonesia dan Amerika Syarikat (USA) ketika menunaikan haji.

“Tiada rahsia khusus, kami hanya menggunakan pelbagai resipi rempah ratus diadun dengan sukatan tepat bagi menambahkan keenakan cita rasa bubur lambuk,” katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Menurutnya, selain rempah ratus cara masakan perlu dilakukan mengikut turutan iaitu merebus daging, kacang kuda, kacang tanah dan dicampur bersama beras.

Katanya, semua bubur lambuk dimasak selama lima jam bermula 7.30 pagi sehingga 12.45 tengah hari.

“Alhamdulillah, penduduk mula menyumbang pelbagai barangan untuk kami gunakan dalam masakan dan agihan diberikan kepada fakir miskin serta saudara baru kurang berkemampuan.

“Kami menyediakan 400 bungkusan setiap hari dan diagihkan selepas solat asar. Biasanya penduduk di 25 taman serta beberapa kampung menerima bubur lambuk kami,” katanya.

Sementara itu Muhamad Nadia berkata, dia belajar resipi bubur lambuk dari keluarganya yang diamalkan sejak lebih 100 tahun lalu.

Katanya, dia kini melatih pelapis tukang masak dalam kalangan kariah bagi memastikan ilmu memasak bubur berkenaan dapat diwarisi orang lain.

“Janganlah meniru bulat resipi masakan bubur lambuk melalui laman sosial kerana ada diubah suai menyebabkan keasliannya tercemar.

“Sebaliknya bergurulah dengan generasi sedia ada selagi mereka masih hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:32 PM