Dr Zakir Naik. FOTO Khairull Azry Bidin
Hairulazim Mahmud


“KITA akan mengkaji undang-undang sama ada menghantar pulang atau tidak,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melihat dari sudut perundangan berkaitan penghantaran pulang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur hari ini.

Pihak pendakwaan Kerajaan India mendakwa Zakir yang berstatus Penduduk Tetap (PR) di Malaysia terbabit dengan tuduhan pengubahan wang haram.

BBC melaporkan warga India yang kini menetap di Malaysia sejak 2017 itu dituduh memperoleh aset berkaitan jenayah bernilai AS$28 juta.

Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan Zakir.

Pihak berkuasa India turut menuduh beliau menyebarkan ucapan kebencian dan menghasut keganasan.

Syarahan dan ucapan Zakir, 53, banyak disiarkan televisyen Dubai Peace TV, yang mempunyai hampir 200 juta penonton seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:32 PM