AHMAD Zahid
Murni Wan Omar


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menolak permohonan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi untuk mendapatkan pasportnya bagi menunaikan umrah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu atas alasan Ahmad Zahid sudah beberapa kali melakukan umrah sejak 30 tahun lalu dan kali ini beliau berhadapan dengan kes mahkamah yang serius.

“Anggapan tidak bersalah perlu seimbang dengan keseriusan pertuduhan serta kemungkinan dan risiko untuk tertuduh melarikan diri.

“Daripada pemahaman saya terhadap hujah yang dikemukakan walaupun ibadah umrah disyorkan pada bulan Ramadan, tetapi bukan sesuatu yang wajib. Ia bukan keperluan mendesak dan tiada kewajiban untuk melaksanakan umrah,” katanya.

Ahmad Zahid diwakili peguam Hisham Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sazilee Abdul Khairi.

Terdahulu, Hisyam memberitahu mahkamah Zahid sepatutnya pergi pada 9 Mei dan pulang pada 3 Jun ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengaku tidak bersalah terhadap 47 tuduhan membabitkan 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.

Beliau didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta sumbangan kepada Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Ahmad Zahid berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 5:30 AM